Friday 12 September 2014

3 Jenis Buku untuk Bayi

Teks: Noraini Hamdan
Foto: Carian Google dan koleksi peribadi

Sewaktu bekerja di pejabat dahulu, saya selalu menggunakan masa terluang untuk membaca blog-blog ilmiah. Antaranya berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak. Banyak rupanya info menarik yang saya tidak tahu sebelum ini.

Waktu kecil-kecil dahulu, saya tidak berapa ingat berapa umur saya ketika belajar mengenal huruf dan nombor. Mungkin belajar di tadika atau lebih awal daripada itu. Yang paling jelas di ingatan, saya belajar membaca ketika Darjah Satu.

Melalui pembacaan saya, kebanyakan ibu bapa zaman ini mengajar anak membaca pada umur 3 tahun, malah ada yang lebih awal daripada itu. Paling istimewa, ibu atau bapalah yang menjadi guru pertama anak-anak mereka.



Mengajar kanak-kanak yang sedang aktif bukan mudah. Lebih-lebih lagi jika mereka tidak biasa dengan buku dan tiada suasana 'mesra buku' di sekitar mereka.



Di sini saya kongsikan 3 jenis buku yang saya jadikan permainan harian untuk Sarah sejak berumur 6 bulan.

1. 'Softbook' atau buku lembut.

'Softbook' ialah buku yang diperbuat daripada kain, dijahit dengan dengan kemas membentuk sebuah buku. Antara ciri istimewanya ialah mudah dibasuh, tidak mudah koyak jika digigit bayi dan mempunyai gambar comel dengan warna yang mudah menarik perhatian kanak-kanak.

Kebanyakan 'softbook' keluaran luar negara mempunyai tekstur berbeza-beza yang boleh merangsang deria sentuhan bayi. Yang paling menarik perhatian saya ialah tekstur yang dapat menghasilkan 'bunyi plastik' jika diramas. Ada juga 'softbook' keluaran bumiputera yang bercirikan Islamik seperti belajar berwuduk dan solat. 

Semasa bayi, Sarah suka jika saya bacakan 'softbook' sambil berbaring di sebelahnya. Saya tidak pasti sama ada Sarah dapat memahami apa saya baca tetapi melalui gelak tawanya saya pasti dia gembira dan selesa dengan suasana itu.

2. 'Chunky book' atau buku berpad

Buku berpad diperbuat daripada bahan 'foam' yang mempunyai sifat kenyal dan tidak berbahaya jika digigit bayi. Permukaannya dilapisi dengan kertas kalis air berwarna-warni. Biasanya buku berpad bersaiz kecil dan mudah dibawa ke mana-mana.

Saya menghadiahkan Sarah 4 buah buku berpad mini bertajuk Mengenal Abjad, Mengenal Nombor, Mengenal Huruf Jawi dan Mengenal Binatang. Seronok rasanya melihat Sarah berkerut dahi membelek bukunya, tidak ubah seperti seorang kanak-kanak sedang menelaah buku Biologi.

3. Kad imbas

Kad imbas amat disyorkan oleh pakar pendidikan kanak-kanak kerana ia amat sesuai untuk merangsang penglihatan dan otak bayi. Menurut pakar tersebut, mata bayi akan cuba menangkap apa yang diimbaskan di hadapannya seterusnya menghantar memori tersebut ke otak.

Secara praktikalnya juga pembelajaran untuk kanak-kanak di bawah umur 3 tahun lebih berkesan menggunakan kad imbas. Lebih menarik lagi jika ia disertakan dengan gambar-gambar berkaitan. Ini untuk merangsang daya imaginasi dan kreativiti kanak-kanak.

Saya masih belum dapat melihat kesannya semasa mengajar Sarah menggunakan kad imbas. Tapi saya yakin kaedah ini memudahkannya menerima input-input baru selepas berumur 2 tahun.



Pada usia yang masih kecil, kanak-kanak mungkin tidak pandai menggayakan sesuatu permainan dengan cara betul. Biarkan sahaja mereka bermain dengan selesa tetapi jika mereka merengek meminta pertolongan, segeralah hulurkan bantuan.

No comments:

Post a Comment