Friday 28 November 2014

Mengajar Anak Mengaji Bermula Umur 6 Bulan

Teks: Noraini Hamdan
Foto: Carian Google



Salah satu perancangan saya setelah berhenti kerja makan gaji adalah mengajar anak di rumah atau lebih mudah disebut 'homeschooling'. Dengan ilmu yang tidak berapa banyak dan pengalaman yang sedikit saya mula dengan asas ilmu yang saya perolehi melalui pembacaan.

Jika dibuat carian Google banyak artikel yang membincangkan tentang kaedah mengajar anak mengaji bermula sejak bayi dan sebahagiannya saya cuba praktikkan pada anak sendiri.



1. Perdengarkan ayat Al-Quran

Saya masih ingat lagi ketika Sarah dilahirkan, suara pertama yang didengarinya ialah suara ayahnya yang mengalunkan azan dan iqamat di kedua-dua belah telinganya. Apakah hikmah di sebalik anjuran Islam yang satu ini?

Deria pertama bayi ialah pendengaran. Ketika penglihatan mereka masih kabur dan sukar mengecam wajah ibu dan ayahnya, telinga mereka cekap menangkap bunyi di persekitaran. Bukankah lebih baik jika mereka diperdengarkan ayat-ayat Al-Quran?

Ketika di sekolah dahulu memang agak susah juga hendak menghafal ayat hafazan apatah lagi surah yang panjang-panjang. Perlu duduk diam dan tunduk merenung lantai untuk mengingati setiap baris ayat.

Tetapi kanak-kanak 5 tahun dengan mudah menghafal surah-surah panjang sambil memanjag pagar dan bermain basikal. Inilah istimewanya mereka. Otak mereka seperti span yang mampu menyerap semua input sama ada positif atau negatif bermula dari bayi.

2. Wujudkan suasana belajar.

Rumah saya tidaklah sebesar mana. Hanya ada dua buah bilik dan ruang tamu yang comel. Kedua-dua bilik sememangnya penuh dengan barang terutamanya buku-buku.

Di ruang tamu saya tampalkan poster huruf hijaiyah. Memang mudah dilihat Sarah ketika bermain-main di situ. Sesekali saya akan memanggil namanya dan menyebut 'aa ba ta' sambil menunjuk ke arah poster.

Pada umurnya sekitar 7-8 bulan, sarah sudah pandai menunjuk ke arah poster jika mendengar sebutan 'aa ba ta'. Dan salah satu aktiviti kegemarannya ialah 'menyusun' buku-buku di bilik solat.



3. Penggunaan kad imbas


Penggunaan kad imbas semakin popular dan digunakan dengan meluas semasa sesi pengajaran. Teknik imbas sekilas dikatakan dapat meningkatkan memori dan melatih otak kanan kanak-kanak.

Mereka dilihat lebih mudah menyerap input hasil daripada penggunaan kad imbas lebih-lebih lagi jika disertakan dengan gambar berwarna-warni.

Saya cuba menggunakan kad imbas ketika umur Sarah sekitar 7-8 bulan. Jika dilihat dengan mata kasar seolah-olah tiada hasilnya tetapi sebenarnya semua input daripada sesi tersebut tersimpan kemas di dalam kotak memorinya.

Sesi pembelajaran dengan anak kecil yang aktif sememangnya perlu menyediakan beberapa set kad imbas untuk menggantikan set yang telah terkoyak.

4. Lagu

Lagu memang digemari oleh kanak-kanak ataupun orang dewasa. Saya menghafal abjad melalui lagu, mengingat bulan-bulan islam juga melalui lagu.

Antara lagu atau irama yang menarik perhatian Sarah ialah Upin Ipin, UTC, susu Friso, lagu tema TV3 malah irama Astro Prima juga menjadi dendangannya.

Bermula umur setahun lebih saya memasang vcd al-Furqan setiap pagi. Reaksi awal Sarah hanyalah mendengar penuh khusyuk tak sampai habis satu lagu pun.

Selepas beberapa bulan Sarah mula pandai meminta supaya dipasangkan vcd tersebut. Aktiviti mengaji menggunakan flash card juga  menggunakan lagu tersebut. Jika bermain puzzle hijaiyah dan terpandang poster juga Sarah akan menyanyikan lagu tersebut.

=====

Setiap kanak-kanak adalah unik. Saya cuba untuk tidak membandingkan Sarah dengan kanak-kanak lain terutamanya daripada segi perkembangannya. Tugas ibu bapa ialah mengenali anak kita dan mendidik mereka mengikut acuan yang betul.




No comments:

Post a Comment