Wednesday 24 September 2014

PSM 1.0: 'Adjust' Minda Nyaman Emosi

Teks: Noraini Hamdan
Foto: Facebook


Ini cerita hujung minggu. 

Buat pertama kalinya saya menyertai usrah santai yang membincang hal-hal keibubapaan. Ibu-ibu berkongsi cerita dan tips untuk membentuk emosi yang lebih nyaman manakala bapa-bapa memantau anak-anak yang bermain bersama rakan-rakan.

"Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah kepadanya nescaya ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman." (Al-An'aam 6:125)

Melalui ayat Al-Quran di atas, hidayah Allah datang kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dalam pelbagai bentuk. Walaupun ayat ini untuk orang bukan Islam, ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja termasuklah ibu-ibu yang berhadapan dengan pelbagai situasi dalam membesarkan anak-anak. Hidayah Allah mungkin hadir dalam bentuk ketenangan dan ilmu dalam menguruskan stres.


Latihan 'adjust' minda

Luangkan satu masa yang tenang, segar, bersemangat dan bebas daripada gangguan anak-anak. Cipta beberapa situasi tegang yang tidak dijangka ketika bersama anak-anak. Kemudian senaraikan pula 3 langkah wajar ketika berhadapan dengan situasi tersebut.

Contoh situasi:

1. Ketika sedang memasak di dapur, anak mengangkat pinggan di atas meja tanpa disuruh, kemudian terlepas lalu jatuh.

2. Anak kita sedang bermain anak patung. Datang seorang kanak-kanak lain meminta anak patung tersebut. Anak kita enggan berikan lalu menolaknya.

3. Kita baru pulang dari tempat kerja lewat malam. Sebaik sampai di pintu pagar, anak berlari keluar dari rumah sambil menjerit, "Yeay, ibu dah balik!"

4. Pada hari cuti hujung minggu, banyak kerja rumah yang perlu disiapkan manakala kerja di pejabat pula terpaksa dibawa pulang. Suami sedang menonton TV manakala anak-anak pula bergaduh sesama sendiri.

5. Ketika keluar membeli-belah, anak kita meminta dibelikan permainan. Apabila permintaannya ditolak, anak menangis dengan kuat sambil berguling-guling di lantai.

Adakah 3 langkah yang kita senaraikan untuk setiap situasi sama seperti tindakan kita ketika berhadapan situasi sebenar? 

Selalunya tindakan kita bersandarkan emosi yang tidak tenang, tertekan dan kesuntukan masa. Lalu kita gagal berfikir dengan wajar. Tindakan luar kawal kita membentuk peribadi yang tidak sihat pada anak-anak.

Situasi dan karenah setiap anak-anak mungkin tidak sama. Hanya 3 langkah diperlukan untuk setiap situasi yang biasa kita hadapi bersama anak-anak. Latihan seperti ini memberi persediaan kepada emosi jika berlaku situasi-situasi tersebut dan memberi signal kepada otak untuk melakukan tindakan yang betul.



No comments:

Post a Comment