Thursday 21 May 2015

PSM 1.0: 6 Akibat Tidak 'Adjust' Minda

Teks: Noraini Hamdan
Foto: Carian Google




Ini adalah sambungan entri sebelum ini. Baca di sini.

'Adjust' minda ialah kebolehan kita berfikir dengan wajar dan mengawal emosi dalam situasi tegang. Kebanyakan orang gagal menenangkan diri sendiri ketika berhadapan dengan situasi yang tidak dijangka dan mengakibatkan tindakan yang kurang wajar.

Tindakan tersebut boleh memberi kesan kepada orang di sekeliling. Jika ibu-ibu gagal mengawal emosi, anak-anaklah yang akan menerima kesannya.




5 akibat jika kita tidak 'adjust' minda ketika berhadapan dengan anak-anak:

1. Bertindak mengkritik, memalukan dan memaksa anak.

Perkara yang selalu terjadi apabila anak melakukan perkara yang kita tidak suka ialah kita memarahi, mengkritik dan memalukan anak.

Contohnya:

"Adam jangan degil tau. Balik nanti mama rotan baru tahu!"

"Anak saya memang macam ni. Kalau makan minum tak tumpah tak sah!"

Ayat-ayat yang kita lafazkan ini mungkin dapat 'melepaskan' sedikit perasaan kita tetapi memberikan impak yang sangat besar terhadap peribadi anak.

2. Menarik sifat negatif anak.

Apabila kita memarahi dan memalukan anak, anak juga akan bertindak untuk melepaskan perasaannya seperti menengking dan menghentak kaki.

Pada kebiasaannya anak kita mungkin tidak berperangai begitu. Tetapi disebabkan emosinya tercalar, mereka bertindak di luar jangkaan kita.

3. Memberi arahan yang tidak jelas.

Apabila marah, emosi kita mendahului pemikiran. Kita tidak dapat memberi penyelesaian dan arahan dengan baik.

Contoh:

Ketika kita marah kerana rumah bersepah, apa yang keluar daripada mulut kita ialah, "cepat kemaskan mainan. Kalau tak mama buang!"

Anak kecil mungkin tidak faham apa yang dimaksudkan dengan 'kemas'. Arahan yang lebih jelas ialah, "adik kutip semua lego, lepas tu masukkan dalam bekas ni. Kutip semua yang ada atas lantai. Jom mama tunjukkan."

4. Semua benda kelihatan salah.

Pernah tak kita balik kerja dalam keadaan marah, kemudian apa yang kita semua tak kena? Apabila kita marah, kita berada dalam gelombang negatif. Apabila kita menzahirkan gelombang tersebut melalui percakapan, kita juga menarik gelombang negatif alam dan menyebabkan keadaan menjadi bertambah teruk.

Kita balik dengan perasaan stres sebab dimarahi majikan. Kemudian sampai rumah, anak masih bermain di luar. Masuk ke dalam rumah, nampak pula kain baju berlonggok di atas kerusi. Stres kita sudah tahap maksima lalu diluahkan dengan memarahi dan membebel pada anak-anak dan suami. Keadaan mungkin tidak sama jika kita balik dalam keadaan tenang dan ceria.

5. Marah bukan pada sasaran.

Ketika kita tidak tenang, orang yang sering menjadi sasaran ialah anak. Sebagai ibu atau bapa, kita fikir kita punya hak untuk marahkan anak dan kita punya hak untuk tentukan mereka betul atau salah. 

Kadang-kadang anak tidak buat kesalahan apa-apa pun. Tetapi kerana mereka 'kelihatan' salah di mata kita, mereka terus menjadi mangsa kemarahan kita.

Contoh:

Anak menonton televisyen pada waktu malam. Pada kebiasaannya perkara itu normal kerana waktu itu ialah waktu bersama keluarga. Tetapi kerana kita sedang marah pada suami, kita merasakan menonton televisyen itu membuang masa lalu memarahi anak kita.

6. Hidup rasa tidak seronok.

Orang yang bahagia ialah orang yang sentiasa tersenyum. Bagaimana mahu tersenyum kalau selalu tidak tenang dan marah-marah?


No comments:

Post a Comment