Tuesday 16 June 2015

Rangsangan Awal untuk Bayi

Teks: Noraini Hamdan
Foto: Carian Google



Saya mula mendedahkan Sarah dengan huruf hijaiyah bermula umur 9 bulan menggunakan flash card. Azam saya untuk mula ajar anak saya mengaji seawal mungkin bukanlah untuk berlumba-lumba dengan anak orang lain tetapi kerana kesedaran betapa berharganya usia emas kanak-kanak. Pada enam tahun pertama usia mereka, otak berkembang dengan pesat dan dapat menyerap hampir semua input yang diberikan sama ada baik atau buruk.


Ada segelintir ibu bapa beranggapan usia anak yang terlalu kecil tidak sewajarnya dibebankan dengan pelajaran.

"Kesian, baru dua bulan dah diajar alif ba ta."

"Bukan tak boleh tunggu tadika, kalau dah pandai nanti cikgu nak ajar apa?"

"Kalau semua maknya dah ajarkan, senanglah cikgunya tak ada kerja."

Kajian mengatakan 50% perkembangan otak kanak-kanak berlaku pada 4 tahun pertama. Pada waktu ini, mereka mungkin dilihat bermain setiap masa tetapi sebenarnya mereka sedang belajar banyak perkara. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memastikan mereka belajar sesuatu yang berfaedah dan mendapat rangsangan maksimum.

Kaedah pengajaran bayi tidak sama seperti kanak-kanak di sekolah rendah. Proses pengajaran dilakukan secara santai dan mereka sendiri tidak sedar mereka sebenarnya sedang diberi input penting untuk masa depan. 




Rangsangan awal untuk kanak-kanak

1. Pendengaran

Bayi sudah boleh mendengar seawal dari dalam kandungan. Ketika lahir ke dunia, mata mereka masih kabur tetapi telinga cekap menangkap bunyi di sekeliling mereka. Pada waktu ini bayi sudah boleh dirangsang dengan memperdengarkan bacaan al-quran dan muzik yang perlahan.

2. Penglihatan

Warna mula-mula yang dapat dicam oleh bayi ialah warna hitam, putih dan merah. Tunjukkan kepada mereka benda-benda daripada warna ini. Jika ibu bapa sudah mula memperkenalkan huruf menggunakan flash card, cari flash card yang menggunakan tiga warna ini.

Apabila bayi sudah semakin besar, mereka sudah mula seronok melihat gambar berwarna-warni. Ibu bapa boleh memberikan buku berpad dan kad imbas kalis air yang berwarna-warni. Kenapa perlu kalis air? Waktu ini bayi sudah pandai menggigit. Pastikan bahan-bahannya tidak bertoksik.

Softbook juga salah satu buku yang baik untuk bayi. Ia tahan lasak dan boleh dibasuh.

3. Sentuhan

Bayi yang sudah pandai meniarap dan merangkak sememangnya aktif dan teruja dengan sesuatu yang baru. Rangsang mereka dengan permainan yang lembut dan mempunyai permukaan yang pelbagai. Ini untukmengaktifkan sel-sel deria sentuhan anak kita.

Contoh permainan yang sesuai ialah 'soft toys' yang menhasilkan bunyi apabila dipicit.

No comments:

Post a Comment