Thursday 4 September 2014

5 'Ubat' untuk Anak Demam Denggi

Teks: Noraini Hamdan
Foto: Carian Google dan koleksi peribadi

Kebelakangan ini banyak kes demam denggi yang dilaporkan sehingga mencecah 50 000 kes dengan lebih 100 kematian (Ogos 2014). Saya tidak begitu ambil tahu walaupun ia tidak boleh dipandang ringan dan boleh membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.



Beberapa minggu lepas saya dan Sarah (anak) telah dijangkiti virus ini. Pada mulanya saya menyangkakan ia hanyalah demam biasa, mungkin akibat terlalu letih berhari raya. Saya hanya mengambil ubat demam namun selepas dua hari, saya dan suami memutuskan untuk berjumpa doktor.



Antara simptom yang saya alami ialah demam kuat yang berulang-ulang tanpa gejala batuk dan selesema, sakit badan dan sakit kepala. Doktor menyimpulkan saya dan Sarah mungkin dijangkiti virus demam denggi dan mengesyorkan supaya kami membuat ujian darah jika demam berlarutan sehingga hari ketiga.

Pemantauan oleh Klinik Kerajaan

Kami pergi ke Klinik Kesihatan Sultan Ismail pada petang Khamis untuk mendapatkan pemeriksaan susulan. Tidak ramai pesakit ketika itu mugkin disebabkan waktu operasi di klinik tersebut sudah hampir tamat. Kami terlupa waktu pejabat bagi agensi kerajaan (negeri Johor) pada hari Khamis sehingga pukul 3.30 petang sahaja.

Selepas mendaftar kami terus masuk ke bilik di mana ujian darah dilakukan. 'Full Blood Count' perlu dilakukan untuk melihat jumlah platelet (pembeku darah). Biasanya pesakit demam denggi akan mengalami penurunan jumlah platelet iaitu kurang daripada 150 BpL.

Sarah menangis dengan kuat dan meronta-ronta sebaik tangannya dicucuk jarum. Saya yang masih lemah dan sakit badan hampir tidak dapat mengawalnya. Macam mana agaknya kalau ujian darah ini perlu dilakukan setiap hari?

Selepas mendapat keputusan ujian darah kami dipanggil masuk ke bilik doktor. Keputusan menunjukkan bacaan platelet saya masih berada pada paras normal tetapi bacaan platelet Sarah sudah turun lebih rendah daripada 150 BpL.



Doktor memberikan sekeping kad berwarna merah khas untuk tujuan pemantauan ujian darah. Benar tekaan saya, Sarah perlu melakukan ujian darah setiap hari sehingga bacaan plateletnya naik semula. 





Menurut doktor tersebut, satu-satunya kaedah rawatan demam denggi ialah dengan minum banyak air. Namun air kosong sahaja tidak mencukupi. Kami dinasihati supaya minum apa-apa jenis air termasuklah susu dan jus. 

Setakat ini, rawatan yang dapat dilakukan ialah rawatan sokongan. Ujian 'Full Blood Count' perlu dilakukan setiap hari untuk mengesan sebarang perubahan yang boleh mengancam nyawa. Jika bacaan platelet kurang daripada 100 BpL, pesakit akan ditahan diwad untuk pemantauan yang lebih rapi. Begitu juga jika pesakit mengalami muntah, cirit-birit atau pendarahan. 

Tips merawat kanak-kanak

Ada banyak petua untuk merawat demam denggi namun tidak semuanya sesuai untuk kanak-kanak. Antara makanan/minuman yang kami berikan kepada Sarah ialah:

1. Air masak

Doktor sememangnya mengesyorkan supaya minum lebih banyak air masak. Mujur Sarah memang suka minum air masak tetapi semasa demam semuanya ditolak. Jadi saya berikan susu badan sahaja.

2. Air 100 Plus tanpa karbonat



Sebelum ini saya tidak pernah tahu wujudnya air 100 Plus yang tidak bergas. Agak sukar juga suami mencarinya. Rupa-rupanya ia diletakkan di bahagian rak air minuman, bukan di bahagian tempat sejuk. Untuk bayi di bawah umur setahun, susu ibu adalah yang terbaik.

3. Air barli

Barli mentah boleh dibeli di kedai runcit atau pasar raya. Biasanya ia dijual dalam bentuk peket kecil. Di rumah, suami merebusnya bersama gula sehingga masak seperti nasi. Mudah untuk dibancuh dengan air masak dan selebihnya boleh disimpan di dalam peti sejuk.





4. Tembikai

Salah satu sebab tembikai sesuai untuk pesakit demam denggi ialan kandungan airnya yang banyak.  Kebetulan Sarah memang suka makan tembikai, jadi ini ialah antara makanan yang paling mudah dimakannya.

5. Kurma

Salah satu kelebihan kurma ialah dapat menambah platelet darah. Lebih baik lagi jika dapat dibuat jus untuk memastikan keberkesanannya. Agak susah juga untuk mencari kurma jika bukan di bulan puasa. Di Johor Bahru, bermacam-macam produk berasaskan kurma boleh dibeli di sebuah kedai di Angsana Johor Bahru Mall. Lokasinya di tingkat bawah berhampiran pintu masuk UO. Kurma yang dijual juga berkualiti tinggi. Antara produk lain yang dijual ialah jus kurma, biskut kurma dan coklat kurma.

Sebenarnya banyak lagi petua lain seperti minum air rebusan pucuk betik, sup ketam dan sebagainya. Namun rasanya yang kurang enak mungkin agak susah untuk diberikan kepada kanak-kanak.

Alhamdulillah selepas seminggu, bacaan platelet kami kembali normal dan tidak perlu lagi berulang-alik ke klinik.

No comments:

Post a Comment